Iklan ...Iklan ..Dapatkan Kuih Sepit untuk harga yang murah.... Sila klik disini disini dan disini

Sabtu, 12 Oktober 2013

Bayan Lepas

Pada suatu masa, seorang petani dan isterinya mengerjakan sebidang sawah untuk bertanam padi. Malangnya apabila padinya masak, semuanya habis dimakan oleh burung. Tidak ada sedikit pun yang tinggal. Begitulah juga pada musim-musim berikutnya.

Oleh hal yang demikian , kedua-dua suami isteri ini meminta kerja di rumah orang kaya. Bekerjalah mereka di rumah itu untuk mendapatkan sara hidup. Malangnya orang kaya itu sangat kedekut. Kerja kedua-dua suami isteri ini tidak berpadanan dengan upah yang diberikan.

Orang kaya itu memelihara beratus-ratus ekor burung bayan. Burung-burung itu diletakkanya di dalam sebuah sangkar yang besar. Setiap hari isteri petani itu akan memberi makan burung-burung bayan itu. Isteri petani itu sangat kasihan melihat burung-burung itu tidak gembira.

"Tentu burung ini mahu terbang bebas," kata isteri petani itu.

 Pada satu petang, pintu sangkar itu dibukanya. Berterbanganlah burung-burung itu keluar.

"Burung bayan lepas! Burung bayan lepas!" Isteri petani mendengar suara berteriak di luar.

Namun, tiada apa yang boleh dibuat lagi.Semua burung itu terlepas ke luar sangkar. Mereka terbang bebas dengan gembira.

Petani suami isteri itu diberhentikan kerja kerana kesalahan itu. Kedua-dua mereka kembali menanam padi. Sejak hari itu, padi yang mereka tanam sebiji pun tidak diusik oleh burung.

Lama selepas itu, seorang miskin datang ke rumah mereka.

"Berilah aku padi kerana sawah aku habis dimakan burung pada setiap musim," kata si miskin.

Petani suami isteri itu memberi dua tiga guni padi kepada si miskin. Tiba-tiba si miskin mengenali kedua-dua petani itu.

"Kamukah yang bekerja dengan aku dahulu ?" katanya. Tahulah kedua-dua suami isteri itu bahawa si miskin itu ialah orang kaya yang memelihara burung bayan yang mereka lepaskan dahulu.

Jumaat, 11 Oktober 2013

Cukai

Kononnya ada sebatang sungai yang dalam airnya. Dia dalam sungai itu ada banyak buaya. Kata orang, sungai itu ganjil kerana ia bermuarakan sebuah kuala dengan satu sungai yang lain.

Pada setiap tahun ada sahaja penduduk yang tinggal di tebing sungai tu ditangkap buaya. Apabila tiba musim air pasang penuh, semua orang takut untuk mandi-manda di sungai itu. Mereka takut ditangkap buaya.

Pada suatu masa, seorang penduduk di situ mendapat mimpi. Dia bermimpi seekor buaya hitam yang ganas meminta supaya diberikan seorang manusia pada setiap tahun. Buaya itu seolah-olah menita cukai daripada penduduk kampung dengan menjadikan seorang manusia sebagai mangsanya pada setiap tahun. Seorang anak muda datang berdagang ke kampung itu. Dia menghalang permintaan buaya hitam sebagaimana mimpi penduduk kampung itu ditunaikan.

Pada suatu hari, dia terjun ke dalam sungai untuk mencari buaya hitam itu. Buaya itu dapat ditangkapnya. Buaya yang besar itu disimpai mulutnya lalu dibawa ke darat. Orang ramai datang melihat buaya itu. Anak dagang itu pun membuka mata buaya yang ditangkapnya lalu berkata : "Kamu lihat semua orang ini. Mereka sahabat serta saudara-mara aku. Lain kali jangan ganggu mereka lagi !"

Kemudian anak dagang itu melepaskan buaya hitam ke dalam sungai. Sejak itu tiada lagi orang yang ditangkap buaya. Namun, kampung di tebing sungai tu tetap dinamakan Cukai.

Rabu, 9 Oktober 2013

Puteri Cenderawasih

Ada seorang pemikat burung. Kamat namanya. Pada suatu hari, Kamat pergi ke pinggir hutan. Sesudah memasang getah pada suatu dahan, Kamat pun bersembunyi dan menunggu. Kemudian itu dia tertidur. Apabila terbangun daripada tidur, Kamat terkejut. Dia melihat seorang gadis rupawan sedang menanggalkan getah pemikat di kakinya.

"Nama saya Cenderawasih. Saya sesat jalan," kata gadis itu.

Kamat terpikat dengan Cenderawasih.Dia membawa Cenderawasih pulang. Kamat cuba menanyakan orang kampung jika mereka mengenali Cenderawasih. Setelah beberapa purnama, masih juga tiada yang mengenali Cenderawasih. Akhirnya, Kamat dan Cenderawasih pun berkahwin.

Sebaik sahaja mereka mendapat anak, perangai Kamat mula berubah. Dia tidak mempedulikan anak dan isterinya. Dia lebih senang keluar berseronok dengan teman-temannya. Cenderawasih menangis dan merajuk. Pada suatu hari, Cenderawasih meninggalkan anaknya di sisi ibu mentuanya yang sedang tidur. Dia membaca mantera, lalu bertukar menjadi burung Cenderawasih semula. Maka terbanglah ia dari rumah itu.

Apabila Kamat pulang, dia mendapati Cenderawasih sudah tiada. Dia bertekad untuk mencari isterinya. Anaknya dikendong. Dia meredah hutan belantara. Dalam perjalannya itu, dia telah menolong seekor semut yang hampir lemas di permukaan sungai. Dia juga memabantu seekor kelisih yang lendir tubuhnya kekeringan dan sukar bergerak menuju ke air. Dia turut membantu seekor kelip-kelip yang dihanyutkan oleh arus sungai. Akhirnya, Kamat dan anaknya tiba di sebuah negeri. Dia hairan melihat orang ramai yang sedang sibuk. Setelah bertanya kepada orang kampung dia mendapat tahu Puteri Cenderawasih akan dikahwinkan dengan tunangnya.

Kamat terkejut. Dia menghadap raja negeri itu dan menyatakan tujuannya menjejaki Cenderawasih. Raja tidak percaya dan mahu menguji Kamat. Ujian pertama, Kamat mesti memisahkan seguni beras yang digaul dengan seguni pasir.

"Jangan bimbang. Beri peluang saya membalas budi dengan membantumu," kata seekor semut di sisinya.

Dalam sekelip mata, beribu-ribu ekor semut muncul dan membantunya mengasingkan beras dan pasir itu.

Raja terperanjat, ujian kedua pula dilaksanakan. Kamat dikehendaki mengisi air ke dalam tempayan di halaman istana dengan raga berlubang-lubang. Sekali ini, kelisih yang pernah dibantunya pula datang menolong. Ia menutup lubang-lubang raga itu dengan lendir tubuhnya dan menyuruh Kamat menjemur raga itu hingga kering. Setelah kering, barulah mudah Kamat mengisi air di dalam tempayan.

Ujian terakhirnya ialah, Kamat  diminta datang pada tengah malam  itu. Kamat mesti memasuki bilik gelap yang dipenuhi oleh ramai gadis. Kamat diperintahkan memilih isterinya antara mereka. Kalau berjaya, bererti benarlah Kamat memang menantu raja.

Kamat dibantu oleh seekor kelip-kelip yang pernah diselamatkannya . Dengan bantuan kelip-kelip itu,Kamat berjaya membawa Puteri Cenderawasih keluar dari bilik itu. Raja tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Tidak lama kemudian, Kamat dilantik menggantikan raja itu. Hiduplah Kamat dan anak isterinya dengan aman damai.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...