Iklan ...Iklan ..Dapatkan Kuih Sepit untuk harga yang murah.... Sila klik disini disini dan disini

Rabu, 9 Oktober 2013

Puteri Cenderawasih

Ada seorang pemikat burung. Kamat namanya. Pada suatu hari, Kamat pergi ke pinggir hutan. Sesudah memasang getah pada suatu dahan, Kamat pun bersembunyi dan menunggu. Kemudian itu dia tertidur. Apabila terbangun daripada tidur, Kamat terkejut. Dia melihat seorang gadis rupawan sedang menanggalkan getah pemikat di kakinya.

"Nama saya Cenderawasih. Saya sesat jalan," kata gadis itu.

Kamat terpikat dengan Cenderawasih.Dia membawa Cenderawasih pulang. Kamat cuba menanyakan orang kampung jika mereka mengenali Cenderawasih. Setelah beberapa purnama, masih juga tiada yang mengenali Cenderawasih. Akhirnya, Kamat dan Cenderawasih pun berkahwin.

Sebaik sahaja mereka mendapat anak, perangai Kamat mula berubah. Dia tidak mempedulikan anak dan isterinya. Dia lebih senang keluar berseronok dengan teman-temannya. Cenderawasih menangis dan merajuk. Pada suatu hari, Cenderawasih meninggalkan anaknya di sisi ibu mentuanya yang sedang tidur. Dia membaca mantera, lalu bertukar menjadi burung Cenderawasih semula. Maka terbanglah ia dari rumah itu.

Apabila Kamat pulang, dia mendapati Cenderawasih sudah tiada. Dia bertekad untuk mencari isterinya. Anaknya dikendong. Dia meredah hutan belantara. Dalam perjalannya itu, dia telah menolong seekor semut yang hampir lemas di permukaan sungai. Dia juga memabantu seekor kelisih yang lendir tubuhnya kekeringan dan sukar bergerak menuju ke air. Dia turut membantu seekor kelip-kelip yang dihanyutkan oleh arus sungai. Akhirnya, Kamat dan anaknya tiba di sebuah negeri. Dia hairan melihat orang ramai yang sedang sibuk. Setelah bertanya kepada orang kampung dia mendapat tahu Puteri Cenderawasih akan dikahwinkan dengan tunangnya.

Kamat terkejut. Dia menghadap raja negeri itu dan menyatakan tujuannya menjejaki Cenderawasih. Raja tidak percaya dan mahu menguji Kamat. Ujian pertama, Kamat mesti memisahkan seguni beras yang digaul dengan seguni pasir.

"Jangan bimbang. Beri peluang saya membalas budi dengan membantumu," kata seekor semut di sisinya.

Dalam sekelip mata, beribu-ribu ekor semut muncul dan membantunya mengasingkan beras dan pasir itu.

Raja terperanjat, ujian kedua pula dilaksanakan. Kamat dikehendaki mengisi air ke dalam tempayan di halaman istana dengan raga berlubang-lubang. Sekali ini, kelisih yang pernah dibantunya pula datang menolong. Ia menutup lubang-lubang raga itu dengan lendir tubuhnya dan menyuruh Kamat menjemur raga itu hingga kering. Setelah kering, barulah mudah Kamat mengisi air di dalam tempayan.

Ujian terakhirnya ialah, Kamat  diminta datang pada tengah malam  itu. Kamat mesti memasuki bilik gelap yang dipenuhi oleh ramai gadis. Kamat diperintahkan memilih isterinya antara mereka. Kalau berjaya, bererti benarlah Kamat memang menantu raja.

Kamat dibantu oleh seekor kelip-kelip yang pernah diselamatkannya . Dengan bantuan kelip-kelip itu,Kamat berjaya membawa Puteri Cenderawasih keluar dari bilik itu. Raja tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Tidak lama kemudian, Kamat dilantik menggantikan raja itu. Hiduplah Kamat dan anak isterinya dengan aman damai.

1 ulasan:

Hilang tension tak?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...