Iklan ...Iklan ..Dapatkan Kuih Sepit untuk harga yang murah.... Sila klik disini disini dan disini
Memaparkan catatan dengan label cerita kanak-kanak pendek. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cerita kanak-kanak pendek. Papar semua catatan

Isnin, 5 Jun 2017

Labah-labah buncit

Dalam sebuah belukar tinggal seekor labah-labah. Sarangnya lebih besar daripada sarang labah-labah lain. Dahulu bapanya yang membuat sarang itu. Kemudian ia menambah di sekeliling sarang itu.

Labah-labah itu berlari dengan pantas dari tengah ke tepi sarang itu.  Ia menangkap mangsanya. Binatang yang ditangkap segera dimakan. Badannya semakin hari semakin besar . Perutnya buncit. Ia memang kuat makan. Perutnya sentiasa berasa lapar.

Pada suatu hari, datang dua ekor labah-labah . Satu dari arah barat dan satu lagi dari arah timur. Kedua-dua labah-labah mahu menjemput labah-labah buncit makan kenduri. Kenduri itu diadakan pada waktu yang sama. Ia menjadi serba salah. Labah-labah buncit bertanya jiran-jirannya. Mereka juga mendapat jemputan. Jiran di kiri pergi ke jemputan arah barat. Jiran di kanan pergi ke jemputan arah timur. Labah-labah buncit mendapat akal. Ia meminta kerjasama jiran-jirannya.

Labah-labah buncit memberi tali kepada jirn-jirannya. Sesiapa yang makan dahulu tarik tali itu. Ia akan pergi ke sana dahulu. Tali itu diikatkan pada perutnya supaya tidak terlepas.

Kedua-dua labah itu pun pergi. Apabila jamuan dihidang, jiran kanan pun menarik tali dari arah timur. Pada masa yang sama, jiran kiri menarik dari arah barat pula. Labah-labah buncit tidak dapat mengikut ke barat. Ia tidak sempat membuka ikatan perutnya.

Kedua-dua jiran labah-labah buncit terus menarik tali masing-masing. Perut labah-labah buncit semakin tercerut. Setelah tidak berjaya menarik, kedua-dua jirannya pun berhanti. Mereka menikmati hidangan. Selepas makan mereka pun pulang .

Mereka mendapati labah-labah buncit pengsan. Mereka cuba membuka tali yang tercerut diperut labah-labah buncit. Sayangnya mereka tidak dapat membuka ikatan itu.

Beberapa hari kemudian labah-labah buncit sedar . Ia berjaya membuka ikatan di perutnya. Sejak itu ia tidak hiraukan makanan. Perutnya tidak berasa lapar seperti selalu. Pinggangnya pun ramping bekas kena cerut. Hingga sekarang pinggang labah-labah kecil dan genting.

DIPETIK DARIPADA MUTIARA KLASIK

Khamis, 9 Jun 2016

Buah Durian Buah Bacang

Pada suatu masa, pokok durian tumbuh dekat dengan pokok bacang. Apabila tiba musimnya, kedua-dua pokok ini berbunga dan berbuah dengan lebat.Sampai ketikanya buah durian dan buah bacang pun masaklah.

Pokok bacang malu kepada pokok durian. Pertama, kerana pokok durian mengeluarkan bau yang sangat harum dan kuat apablia masak. Keduanya pula, apabila gugur buah durian akan berbunyik kuat.

Apabila msak bau buah durian akan mengharumi sekitar kawasan di mana ia tumbuh. Isi durian pula sangat sedap rasanya. Buah bacang tidaklah seistimewa buah durian.

Pada suatu hari, pokok bacang meminta pokok durian memberi sedikit baunya. Kalau tidak pun ia minta pokok durian memijamkan baunya. Pokok bacang mahu buahnya berbau harum dan berbunyi kuat apabila gugur.

"Kita tidak boleh mengubah kejadian Tuhan . Kita mesti bersyukur atas apa yang dijadikan kepada kita.," kata pokok durian.

Pokok bacang tidak peduli . Pada waktu malam setelah semuanya tidur, pokok bacang mencuri bau buah durian daripada pokoknya . Bau itu dipakainya. Namun, benarlah seperti kata pokok durian. Walaupun bau buah bacang bertambah kuat tapi rasanya tetap bercampur masam. Ia tidak enak seperti buah durian.

Pokok durian menyedari akan perbuatan pokok bacang itu . Pokok bacang amat malu dengan pokok durian kerana perbuatannya telah diketahui oleh sahabatnya itu.

Hingga sekarang, jika pokok durian dan pokok bacang tumbuh berdekatan, buah bacang tidak akan gugur.

Buah durian mengeluarkan bau yang harum dan kuat. Apabila gugur bunyinya juga kuat. Sesekali buah durian akan menunggu buah bacang untuk gugur bersama-sama. Namun buah bacang tidak juga mahu gugur sehingga buahnya buruk.

Rabu, 8 Jun 2016

Seruling Ajaib

Tuan Puteri Gandar Eran sedih kerana ditunangkan dengan Dewa Perakas. Dewa Perakas bengis dan suka berperang .

Sewaktu Puteri Gandar Eran bersedih dia terdengar bunyi seruling. Oleh sebab merdu dan sayunya lagu itu, Puteri Gandar Eran jatuh pengsan. Raja segera mencarikan penawar.

Nujum menyuruh dayang mencarikan limau purut. Tupai putih mengetahui akan hajat dayang, dia sendiri mahu mengubatinya. Tupai putih kemudian menyuruh kumbang hijau menghantar sekapur sirih kepada peniup seruling ajaib itu.

Peniup seruling itu ialah Raja Donan. Baginda pun melabuhkan sauhnya berhampiran istana Puteri Gandar Eran.

Di jendela istana Raja Donan ternampak Puteri Gandar Eran sedang termenung. Raja Donan pergi ke hadapan istana puteri. Dia meniup serulingnya.

Serta-merta penyakit Puteri Gandar Eran sembuh. Puteri menceritakan nasibnya kepada Raja Donan. Raja Donan berjanji akan membantunya.

Raja Donan menyamar menjadi seorang budak yang hodoh .

Baginda pun membawa ayam hendak pergi bersabung. Lawannya ialah Si Jalak kepunyaan Dewa Perakas.

"Apakah pertaruhanmu, wahai budak hodoh?"

"Tidak ada apa-apa , tuanku," jawabnya.

"Baiklah, beta mempertaruhkan negeri dan tunang beta sendiri, setuju?" kata Dewa Perakas.

Dia yakin budak hodoh itu pasti kalah. Ayam Raja Donan meyerbu serta menaji ayam Dewa Perakas. Ayam baginda berjaya menumpaskan Si Jalak.

"Siapakah sebenarnya kamu ini, wahai budak hodoh?" tanya Dewa Perakas.

"Betalah Raja Donan yang dihanyutkan oleh Tuk Nujum sewaktu beta kecil dulu ," titah Raja Donan.

Sebaik sahaja Raja Donan menunjukkan dirinya yang sebenar, baginda diserang oleh Dewa Perakas. Dalam pada itu Raja Donan pun berdoa. Dengan sekali tepis sahaja Dewa Perakas pun terpelanting. Kerisnya tertikam pada dirinya sendiri. Maka matilah Dewa Perakas.

Raja Donan pun dikahwinkan dengan Puteri Gandar Eran.

Kijang Emas

Kononnya, penduduk di sebuah negeri percaya bahawa di hutan negeri itu ada kijang emas. Oleh itu ramailah raykat di negeri itu masuk ke hutan untuk memburu kijang emas itu. Raja negeri itu juga memerintahkan perannya yang handal mengetuai pasukan berburu untuk mencari kijang itu. Puaslah mereka pergi dengan membawa anjing perburuan yang handal-handal. Namun, kijang emas itu tidak juga ditemui.

Di mana mereka berasa letih, di situlah mereka akan berhenti berehat. Oleh sebab itu bnyaklah tempat yang menjadi tempat perhentian kepada pemburu-pemburu itu. Di mana sahaja berhenti, mereka akan memberi nama tempat itu.

Jika tempat itu berpantai dan putih pasirnya , maka tempat itu dinamakan Pasir Putih . Jika pasukan itu berhenti di kawasan yang merah tanahnya, maka tempat itu dinamakan Tanah Merah.

Jika tempat itu banyak buah macang maka tempat itu dinamakan Macang. Ada kumpulan yang pergi ke sungai. Mereka dapati di situ banyak ikan jelawat. Maka tempat itu dinamakan Jelawat.

Ada sekumpulan pula menemui pasir yang kuning seperti emas. Maka tempat itu dinamakan Pasir Mas.

Akhirnya kijang emas itu tidak juga ditemui. Mereka pun berhentilah berburu. Namun kijang itu tetap menjadi binatang idaman mereka.

Subang

Pada suatu masa, di suatu tempat terdapat seekor gergasi yang besarnya tidak terperi. Ia gagah dan suaranya amat kuat.

Gergasi ini terlalu suka bermain dengan pasir emas yang dicarinya di kawasan tempat ia tinggal. Pasir emas itu dilemparkannya ke sana sini. Pada waktu malam pasir-pasir emas itu berkilauan disinari cahaya bulan.

Gergasi terlalu asyik bermain dengan pasir emas itu. Apabila habis, maka dicarinya lagi.

Pada suatu hari, pasir emas itu telah dijumpai oleh penduduk kampung yang tinggal di kawasan itu. Mereka berebut-rebut mengutip pasir itu. Pasir emas itu berbentuk seperti subang. Mereka memakainya di telinga masing-masing . Baik lelaki, apatah lagi perempuan semuanya memakai subang daripada pasir emas itu .

Pada suatu mas, penduduk di kawasan itu bergaduh kerana berebutkan pasir emas itu. . Mereka berbunuh-bunuhan kerana hendak kaya. Gergasi sangat marah melihatkan hal yang sedemikian . Ia pun menjerit sambil menghentak-hentakkan kakinya.

Semua bukit runtuh. Gunung-ganang juga runtuh. Air danau menjadi kering-kontang. Kawasan itu menjadi padang jarak padang terkukur.

Selepas itu batu-batu pasir yang berbentuk subang itu tidak ditemui lagi . Kawasan itu menjadi hutan rimba pula akhirnya . Oleh sebab tiada muafakat , kekayaan yang datang pun tidak menjadi berkat.

Isnin, 24 November 2014

Wek Jongen

Seluruh penghuni rumah panjang di lembah Sungai Selakau itu sudah ke huma. Jongen masih termenung di kepala tangga.

Ibunya sedang berkemas. Jongen terkenangkan bapanya yang mati dipatuk ular senduk di baruh rumah panjang mereka. Tuk dukun tidak dapat menyelamatkan bapanya. Dia diberitahu terlalu lewat. Ketika itu bapanya sudah dibawa masuk ke rumah. Pantang tuk dukun ialah orang yang dipatuk ular tidak boleh dibawa masuk ke rumah sebelum ditawarkan.

Kerana kesilapan yang begitu kecil bapanya mati. Jongen amat menyesalinya.

Selang beberapa kampung Jongen dilanda tengkujuh yang paling dahsyat. Air Sungai Selakau melimpahi tebing. Tidak pernah bangsa Selako menyaksikan banjir yang begitu besar.

Penghuni rumah panjang meninggalkan rumah panjang itu dan berpindah ke gua. Jongen dan ibunya juga cuba menyelamatkan diri. Malang sekali ibunya terjatuh ke dalam air yang dalam dan deras.

"Tolong,tolong!" jerit ibunya.

Jongen tidak dapat berbuat apa-apa. Dia tidak terdaya. Air terlalu deras. Ibunya hanyut dibawa arus Sungai Selakau. Jongen menyaksikan peristiwa tu dengan linangan air mata.

Jongen diselamatkan oleh seorang pemuda yang gagah dari rumah panjang mereka. Dia ikut sama berpindah ke Gunung Pueh dan kemudian menyeberangi sempadan. Akhirnya mereka tiba di sebuah tempat bernama Tanjung Dato.

Jongen selalu menyanyi sambil menangis mengenangkan nasibnya. Akhirnya Jongen menjadi buta. Kata orang tua-tua, air matanya sudah kering. Dia tidak mahu makan atau minum lagi. Tidak lama selepas itu dia pun meninggal dunia.

Penghuni rumah panjang mereka mencipta sebuah tarian berdasarkan lagu yang dicipta dan dinyanyikan oleh Jongen. Tarian itu dinamakan Tarian Wek Jongen.

Sabtu, 12 Oktober 2013

Bayan Lepas

Pada suatu masa, seorang petani dan isterinya mengerjakan sebidang sawah untuk bertanam padi. Malangnya apabila padinya masak, semuanya habis dimakan oleh burung. Tidak ada sedikit pun yang tinggal. Begitulah juga pada musim-musim berikutnya.

Oleh hal yang demikian , kedua-dua suami isteri ini meminta kerja di rumah orang kaya. Bekerjalah mereka di rumah itu untuk mendapatkan sara hidup. Malangnya orang kaya itu sangat kedekut. Kerja kedua-dua suami isteri ini tidak berpadanan dengan upah yang diberikan.

Orang kaya itu memelihara beratus-ratus ekor burung bayan. Burung-burung itu diletakkanya di dalam sebuah sangkar yang besar. Setiap hari isteri petani itu akan memberi makan burung-burung bayan itu. Isteri petani itu sangat kasihan melihat burung-burung itu tidak gembira.

"Tentu burung ini mahu terbang bebas," kata isteri petani itu.

 Pada satu petang, pintu sangkar itu dibukanya. Berterbanganlah burung-burung itu keluar.

"Burung bayan lepas! Burung bayan lepas!" Isteri petani mendengar suara berteriak di luar.

Namun, tiada apa yang boleh dibuat lagi.Semua burung itu terlepas ke luar sangkar. Mereka terbang bebas dengan gembira.

Petani suami isteri itu diberhentikan kerja kerana kesalahan itu. Kedua-dua mereka kembali menanam padi. Sejak hari itu, padi yang mereka tanam sebiji pun tidak diusik oleh burung.

Lama selepas itu, seorang miskin datang ke rumah mereka.

"Berilah aku padi kerana sawah aku habis dimakan burung pada setiap musim," kata si miskin.

Petani suami isteri itu memberi dua tiga guni padi kepada si miskin. Tiba-tiba si miskin mengenali kedua-dua petani itu.

"Kamukah yang bekerja dengan aku dahulu ?" katanya. Tahulah kedua-dua suami isteri itu bahawa si miskin itu ialah orang kaya yang memelihara burung bayan yang mereka lepaskan dahulu.

Jumaat, 11 Oktober 2013

Cukai

Kononnya ada sebatang sungai yang dalam airnya. Dia dalam sungai itu ada banyak buaya. Kata orang, sungai itu ganjil kerana ia bermuarakan sebuah kuala dengan satu sungai yang lain.

Pada setiap tahun ada sahaja penduduk yang tinggal di tebing sungai tu ditangkap buaya. Apabila tiba musim air pasang penuh, semua orang takut untuk mandi-manda di sungai itu. Mereka takut ditangkap buaya.

Pada suatu masa, seorang penduduk di situ mendapat mimpi. Dia bermimpi seekor buaya hitam yang ganas meminta supaya diberikan seorang manusia pada setiap tahun. Buaya itu seolah-olah menita cukai daripada penduduk kampung dengan menjadikan seorang manusia sebagai mangsanya pada setiap tahun. Seorang anak muda datang berdagang ke kampung itu. Dia menghalang permintaan buaya hitam sebagaimana mimpi penduduk kampung itu ditunaikan.

Pada suatu hari, dia terjun ke dalam sungai untuk mencari buaya hitam itu. Buaya itu dapat ditangkapnya. Buaya yang besar itu disimpai mulutnya lalu dibawa ke darat. Orang ramai datang melihat buaya itu. Anak dagang itu pun membuka mata buaya yang ditangkapnya lalu berkata : "Kamu lihat semua orang ini. Mereka sahabat serta saudara-mara aku. Lain kali jangan ganggu mereka lagi !"

Kemudian anak dagang itu melepaskan buaya hitam ke dalam sungai. Sejak itu tiada lagi orang yang ditangkap buaya. Namun, kampung di tebing sungai tu tetap dinamakan Cukai.

Rabu, 9 Oktober 2013

Puteri Cenderawasih

Ada seorang pemikat burung. Kamat namanya. Pada suatu hari, Kamat pergi ke pinggir hutan. Sesudah memasang getah pada suatu dahan, Kamat pun bersembunyi dan menunggu. Kemudian itu dia tertidur. Apabila terbangun daripada tidur, Kamat terkejut. Dia melihat seorang gadis rupawan sedang menanggalkan getah pemikat di kakinya.

"Nama saya Cenderawasih. Saya sesat jalan," kata gadis itu.

Kamat terpikat dengan Cenderawasih.Dia membawa Cenderawasih pulang. Kamat cuba menanyakan orang kampung jika mereka mengenali Cenderawasih. Setelah beberapa purnama, masih juga tiada yang mengenali Cenderawasih. Akhirnya, Kamat dan Cenderawasih pun berkahwin.

Sebaik sahaja mereka mendapat anak, perangai Kamat mula berubah. Dia tidak mempedulikan anak dan isterinya. Dia lebih senang keluar berseronok dengan teman-temannya. Cenderawasih menangis dan merajuk. Pada suatu hari, Cenderawasih meninggalkan anaknya di sisi ibu mentuanya yang sedang tidur. Dia membaca mantera, lalu bertukar menjadi burung Cenderawasih semula. Maka terbanglah ia dari rumah itu.

Apabila Kamat pulang, dia mendapati Cenderawasih sudah tiada. Dia bertekad untuk mencari isterinya. Anaknya dikendong. Dia meredah hutan belantara. Dalam perjalannya itu, dia telah menolong seekor semut yang hampir lemas di permukaan sungai. Dia juga memabantu seekor kelisih yang lendir tubuhnya kekeringan dan sukar bergerak menuju ke air. Dia turut membantu seekor kelip-kelip yang dihanyutkan oleh arus sungai. Akhirnya, Kamat dan anaknya tiba di sebuah negeri. Dia hairan melihat orang ramai yang sedang sibuk. Setelah bertanya kepada orang kampung dia mendapat tahu Puteri Cenderawasih akan dikahwinkan dengan tunangnya.

Kamat terkejut. Dia menghadap raja negeri itu dan menyatakan tujuannya menjejaki Cenderawasih. Raja tidak percaya dan mahu menguji Kamat. Ujian pertama, Kamat mesti memisahkan seguni beras yang digaul dengan seguni pasir.

"Jangan bimbang. Beri peluang saya membalas budi dengan membantumu," kata seekor semut di sisinya.

Dalam sekelip mata, beribu-ribu ekor semut muncul dan membantunya mengasingkan beras dan pasir itu.

Raja terperanjat, ujian kedua pula dilaksanakan. Kamat dikehendaki mengisi air ke dalam tempayan di halaman istana dengan raga berlubang-lubang. Sekali ini, kelisih yang pernah dibantunya pula datang menolong. Ia menutup lubang-lubang raga itu dengan lendir tubuhnya dan menyuruh Kamat menjemur raga itu hingga kering. Setelah kering, barulah mudah Kamat mengisi air di dalam tempayan.

Ujian terakhirnya ialah, Kamat  diminta datang pada tengah malam  itu. Kamat mesti memasuki bilik gelap yang dipenuhi oleh ramai gadis. Kamat diperintahkan memilih isterinya antara mereka. Kalau berjaya, bererti benarlah Kamat memang menantu raja.

Kamat dibantu oleh seekor kelip-kelip yang pernah diselamatkannya . Dengan bantuan kelip-kelip itu,Kamat berjaya membawa Puteri Cenderawasih keluar dari bilik itu. Raja tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Tidak lama kemudian, Kamat dilantik menggantikan raja itu. Hiduplah Kamat dan anak isterinya dengan aman damai.

Ahad, 16 September 2012

Ini Ayah Aku


Ini ayah aku. Sekali tengok fesyennya dengan berbaju 'Bush jacket' dan berseluar 'Bell bottom', saling tak tumpah macam wakil rakyat. Paling tidak pun macam pengawal peribadi Perdana Menteri. Tapi hakikatnya ayah aku adalah seorang guru. Nama komersial 'Cikgu Lah' dan yang pasti dia cikgu ku juga.

Bagi aku, bila ayah jadi cikgu sendiri kat sekolah tak ada apa masalahnya. Aku nampak ayah macam cikgu lain je. Cuma satu perkara je aku perasan bila dalam kelas ayah jarang suruh aku jawab soalan. Mungkin ayah tau aku memang tau jawab atau dia takut aku salah jawab. Entahlah, hanya ayah yang tau.

Ayah bukan cikgu yang garang. Kat sekolah ramai murid-murid 'respect' ayah. Mungkin pasal ayah jenis cool orangnya, 'soft spoken' dan pandai main psikologi. Pernah aku nampak seorang murid yang cukup samseng kat sekolah, menangis teresak-esak bila ayah nasihatkan dia. Padahal dengan cikgu lain jangan harap dia nak dengar.

Tapi ada satu benda yang aku tak suka. Bila ayah nak sembelih ayam, aku yang kena pegang ayam tu. Aku jenis tak suka benda-benda hidup ni. Betapa ngerinya aku rasa masa tu. Tuhan saja yang tau. Biasanya masa ni la aku buat-buat sibuk, pergi mandi ke tak pun sembahyang lama-lama.

Salah satu benda yang ayah sayang adalah keretanya. Janganlah cuba-cuba nak usik. Hari-hari ayah mengelap kalau tak basuh pun. Satu prinsip ayah, kereta tak akan nampak cantik kalau tayarnya tak bersih. Tapi ayah tak tau yang aku pun punya minat yang sama. Cuma depan ayah aku tak tunjuk je. Pernah satu hari tu masa ayah tidur, diam-diam aku cuci kereta ayah. Ayah perasan tapi dia buat donno je. Ala... dia tau ni kerja aku.

Untung bila jadi cikgu ni. Ke mana saja pergi selalu dihormati dan gelaran cikgu tak akan pernah hilang walaupun dah pencen. Macam tu la ayah aku. Tak kira yang tua atau muda, orang biasa atau berpangkat semua panggilnya cikgu macam semua orang yang ayah kenal pernah jadi anak muridnya pulak.

+Masih aku ingat satu pesan ayah. Kita hanya ada satu je ibu dan ayah dalam dunia ni. Jadi sayangi dan hormatilah mereka kerana bila mereka sudah tiada, kita tak boleh cari di kedai untuk beli yang baru.

Sumber; SINI

Rabu, 14 Mac 2012

Alkisah 4 orang sepupu

Time cuti sekolah nih, masa tu lah masa budak budak nak di ekspot ke kampung.
Kisah 4 orang sepupu 3 orang berumur 6 tahun bernama Amar, Zafrullah dan Nadhrah. Manakala seorang lagi Izah berumur 5 tahun.
Masing masing sedang mengikuti sekolah tadika.

Dalam masa mereka penat bermain, keempat kanak kanak ni berboraklah sesama sendiri untuk melepaskan penat sekejap.
Oleh kerana Si Amar paling banyak bercakap, Amar memulakan tajuk perbualan.

Amar : Wei,, ko orang dah pandai eja lum?
Yang lain : Sudah lah ..

Masing masing nak menunjuk, sape pun tak nak mengaku kalah

Amar : Izah, cuba ko eja cikgu ..
Izah : Err ..err

Disebabkan Izah masih lagi berumur 5 tahun ... agak tergagap dia nak menjawab. Sambil senyum-senyum. Tak sempat lagi nak jawab, Amar dah bagi lagi satu soalan.

Amar : Ko pulak,,cuba eja pokok (soalan diajukan kepada Zafrullah)
Zafrullah : P.O.K.O.K
Amar : Wei ..betullah ..sama dengan cikgu kita ajar. (dengan nada kehairanan)

Dia bagi soalan lagi ...

Amar : Nadhrah ,, ko pulak eja ayam.
Dirah : A.Y.A.M
Amar : Wei ,,samalahhh
Zafrullah : Kita pun eja A.Y.A.M
Izah : Kita pun sama

Amar menampakkan kehairanan dan terus bertanya

Amar : Ko sekolah mana ha ..kita sekolah kat Gombak
Dirah : Kita kat Senawang
Zafrullah : Kita kat Seremban
Izah : Kita kat Taska Al Ghazali

Amar : Eh cam ner haa ..macam mana boleh sama. Cikgu ko kenal cikgu kita ke?

Berat masalah nyer ni


Selasa, 13 Mac 2012

Puteri Salji Dengan Tujuh Orang Kerdil

   Puteri Salji tinggal di istana bersama ibu tirinya yang cantik. Semakin bertambah dewasa, Puteri Salju semakin cantik. Kulitnya putih bak salji, rambutnya lembut bak sutera dan bibirnya merah seperti bunga mawar.

   Ibu tirinya seorang yang sombong. Setiap hari dia akan berdiri di depan cermin ajaibnya sambil bertanya, "wahai cermin, siapakah perempuan tercantik?" Cermin itu menjawab, "Permaisurilah orangnya!" Permaisuri berasa gembira.

Menawannya Si Puteri

   Keesokan harinya, apabila dia bertanya solan yang sama, cermin itu menjawab, "Puteri Salji ialah wanota tercantik!" Permaisuri amat marah mendengar jawapan itu. Permaisuri segera menyuruh pengawal istana membawa Puteri Salji ke hutan dan meninggalkannya di sana. Pengawal pun membawa puteri kedalam hutan.
Ketika Puteri Salji leka bermain, pengawal itu meniggalkannya di situ dan kembali ke istana. Apabila menyedari dirinya keseorangan, Puteri Salji berasa amat takut. Dia mula menangis. Tidak lama kemudian, Puteri Salji berasa letih dan terus tertidur. Apabila terjaga, dia mendapati tujuh orang orang kerdil mengelilinginya. Mereka kelihatan baik dan ramah.

  Selepas mendengar cerita Puteri Salji, tujuh orang kerdil itu mempelawa puteri tinggal bersama-sama mereka di pondok. Puteri Salji berasa gembira tinggal bersama-sama tujuh orang kerdil itu. Ketika mereka pergi bekerja, dia akan mengemas rumah dan memasak untuk mereka.

   Setiap hari, sebeum tujuh orang pergi bekerja, mereka akan berpesan kepada Puteri Salji,"Waspada, ibu tirimu mungkin akan datang mengganggumu sekiranya dia tahu kamu masih hidup!"



   Di istana, cermin ajaib mengulangi jawapannya, "Puteri Salji masih wanita tercantik!" Permaisuri yang marah segera menyamar sebagai perempuan tua dan membawa buah epal beracun ke pondok tujuh orang kerdil itu. Dia memberikan epal itu kepada Puteri Salji. Sebaik sahaja puteri menggigitnya, dia terus pengsan. Permaisuri segera pulang sambil ketawa. "Puteri Salji sudah mati!" Kini akulah perempuan tercantik!" katanya.

   Tujuh orang kerdil amat terkejut dan sedih melihat Puteri Salji pengsan.Oleh sebab mereka menyayanginya,mereka membuat sebuah keranda cermin dan meletakkan Puteri Salji di dalamnya.Mereka meletakkan keranda itu di luar pondok agar semua orang dapat melihat kecantikkan tuan puteri.

   Kesesokan harinya, seorang putera lalu di situ. Dia terpandang Puteri Salji dan terus jatuh cinta kepada tuan puteri. Dia membuka penutup keranda itu alu mencium pipi Puteri Salji. Cuiman itu serta-merta menghapuskan kuasa jahat permaisuri. Puteri Salji bangun perlahan-lahan. Tujuh orang kerdil berasa amat gembira. Putera raja melamar Puteri Salji berkahwin dengannya. Mereka hidup bahagia selama-lamanya. 

Sabtu, 18 Februari 2012

Pasu Tanpa Pokok Bunga

   Pada zaman dahulu, ada seorang raja yang sudah tua. Baginda tidak mempunyai putera untuk mewarisi takhta baginda. Ini menyebabkan baginda berasa sungguh risau. Pada suatu hari, Raja berfikir bagaimana hendak melantik pengganti baginda. Akhirnya baginda mendapat satu akal. Raja memberi biji-biji benih kepada semua budak di negeri itu. Mana-mana budak yang menghasilkan bunga yang paling cantik daripada biji benih itu akan dijadikan putera angkat baginda.

   Semua budak menyemai  biji-biji benih bunga itu bersungguh-sungguh. Salah seorang budak itu bernama Sharil. Dia menjaga biji-biji benih tersebut dengan baik sehinggaah setengah bulan dan akhirnya genap sebulan. Sharil hairan melihat biji-biji benih yang di semainya itu tidak bercambah. Kemudian dia bertanya kepada ibunya tentang perkara tersebut.

  "Cuba anakku tukarkan tanah dalam pasu ini," kata ibu Sharil. Sharil mengikut sahaja apa kata-kata ibunya tetapi biji-biji benih itu tetap tidak bercambah.

  Akhirnya hari perlantikan putera angkat itu pun tiba. Semua budak datang menghadap raja. Mereka membawa pokok-pokok bunga yang subur itu di dalam pasu masing-masing. Pada ketika itu Raja tidak bertitah apa-apa, cuma menunjukkan muka masam baginda sahaja. Rupa-rupanya baginda tidak tertarik oleh pokok-pokok bunga yang subur itu.

   Tiba-tiba Raja ternampak seorang budak sedang menangis teresak-esak. Budak itu membawa pasu tanpa bunga di dalamnya. Raja menghampiri budak itu lalu bertitah, "Siapakan namamu anakku? Mengapa bawa pasu tanpa pokok bunga di dalamnya?" "Nama saya Sharil, Tuanku," jawab Sharil sambil menangis. Sharil terus menangis teresak-esak. Seketika kemudian dia mengesat air matanya lalu berkata, "tiap-tiap hari patik menjaga biji-biji benih itu bersungguh-sungguh tetapi biji-biji benih itu tetap tidak bercambah."


  Raja berhati-hati mendengar keterangan Sharil itu sambil tersenyum. Kemudian baginda memegang tangan Sharil lalu membuat pengumuman. "anak ini adalah putera angkat beta," titah Raja kegembiraan. Budak-budak lain terperanjat mendengar pengumuman baginda itu.Mengapa Tuanku melantik budak yang membawa pasu tanpa pokok bunga itu menjadi putera angkat Tuanku?

  "Anak-anakku," titah Raja, "beta berikan anak-anakku biji-biji benih yang telah direbus. Biji-biji benih itu sepatutnya tidak boleh bercambah sama sekali."

  Budak-budak itu tunduk kerana malu sungguh setelah mendengar Raja bertitah sedemikian. Sebenarnya mereka telah menggunakan biji-biji benih lain sebagai pengganti biji-biji benih yang tidak boleh bercambah itu.

   Semua budak itu menggunakan helah,cuma Sharil sahaja yang jujur. Oleh itu Raja melantiknya menjadi putera angkat baginda.

Kisah Pemburu dan Ibu Rusa

   Pada zaman dahulu ada seorang pesuruh raja. Pesuruh raja ini sangat suka memburu. Dia mempunyai seekor kuda. Dia selalu menunggang kuda ini semasa memburu.

   Pada suatu hari pemburu itu pergi ke sebuah hutan. Dia melihat ke kanan dan ke kiri. Dia sedang mencari binatang untuk di buru. Tiba-tiba dia ternampak seekor anak rusa. "Comel sungguh anak rusa itu," kata pemburu. "Tentu anak-anakku suka padanya." Perlahan-lahan dia menghampiri anak rusa itu. Denagn pantas dia menangkap anak rusa itu untuk di bawa pulang. Anak rusa itu meronta-ronta untuk melepaskan diri. Tetapi pempburu itu memegangnya dengan kuat. Dia mengikat anak rusa itu di belakang kudanya. Setelah itu dia terus menungggang kudanya untuk pulang.

   Ibu rusa mencari anaknya kesana dan kemari. Ia sangat sedih kerana anaknya telah hilang. Tiba-tiba ia ternampak anaknya di belakang kuda si pemburu. Ia pun mengejar pemburu itu tanpa rasa takut. Ibu rusa menghampiri pemburu itu. Ia merenung anaknya dengan sedih. Ibu rusa inginkan anaknya kembali. Anak rusa menangis terisak-isak diatas belakang kuda tanpa dapat bergerak kerana keempat-empat kakinya telah di ikat. Pemburu sangat sedih melihat ibu rusa dan anaknya.

  Akhirnya Si pemburu melepaskan ikatan pada anak rusa. Anak rusa melompat dan terus berlari mendapatkan ibunya. Ibuny rusa menjilat anaknya dengan penuh kasih sayang. Ibu dan anak rusa sangat gembira kerana dapat bersama kembali.



Rabu, 28 Disember 2011

Budak yang Malas

"Rai, kamu sudah besar panjang. Kamu mesti rajin bekerja. Nanti kamu sendiri yang susah kalau malas bekerja,"      kata abang Rai.

Rai tidak mengendahkan nasihat abangnya. Sebaliknya dia terus berlari menuju ke hutan.

Kerana terlalu penat berjalan seharian Rai tertidur di tepi banir sepohon kayu yang besar. Tidak lama kemudian dia bermimpi roh ayahnya.

"Rai, sampai bila kamu mahu jadi budak yang malas?" tanya roh itu.

Tiba-tiba Rai terjaga dan sedar bahawa rupanya dia bermimpi.

Pada suatu hari, abangnya menyuruh Rai menjaga anak-anaknya. Apabila abangnya sudah tiada, Rai terus makan apa sahaja yang ada di dapur. Selepas itu, dia memetik jari untuk  memangil Si Meot, kucing mereka.

"Untung kamu, Meot. Kamu pun asyik bermain, makan dan tidur, tapi tak dimarahi," kata Rai.

Selepas itu Rai pun tidur.






Alangkah hampanya hati abang Rai apabila dia balik ke rumah pada petang itu, Rai masih tidur dengan nyenyak.

Apabila Rai terjaga abangnya terus memarahinya.

"Pergi kamu dari sini! Bela Si Meot tu lebih baik daripada bela kamu ini! Tak pandai langsung nak jaga hati orang lain," kata abang Rai. Rai terus lari ke dalam hutan. Dia mencari buah-buahan liar di dalam hutan. Dia makan sebanyak mungkin sehingga dia tertidur lagi.

Apabila sedar dia pun bangkit untuk pulang semula ke rumah abangnya. Namun Rai berasa tidak selesa dengan kedua-dua kakinya. Dia pun merangkak dengan kedua-dua tangannya sekali.

Apabila hampir di rumah abangnya, dia dapati kesemua anak abangnya memetik jari ke rahnya sambil bersuara manja.

"Eh, kucing siapa ni, pagi-pagi lagi dah datang ke rumah kita?" soal abangnya kepada anaknya.

Rai undur setapak. Dia dapati kesemua badannya ditumbuhi bulu halus dan tanannya mempunyai cakar macam Si Meot. Barulah Rai sedar yang dia sudah bertukar menjadi seekor kucing malas yang kelaparan.     

Sabtu, 10 Disember 2011

Sulung

Kononnya, ada seorang budak bernama Sulung. Dia tidak mahu tinggal bersama ibu bapanya. Dia keluar dari rumah secara senyap-senyap. Sulung lari mengikut jalan kampung.

Sulung menempuhi beberapa buah kampung. Setelah beberapa hari Sulung sampai di tepi hutan. Di situ ada sebuah pondok. Pondok itu di tepi sungai. Tiba-tiba Sulung nampak seorang nenek membawa ikan.

Nenek itu menegur Sulung dan mengajaknya masak nasi. Sulung membuat helah. Dia hendak berjaga di luar pondok. Setelah nasi masak, Sulung makan.

Selepas makan, Sulung bermain-main lagi. Pagi esoknya, nenek itu pergi ke sungai menangkap ikan. Sulung tidak diberi ikut.

Pada suatu hari, nenek berpesan supaya Sulung belajar memasak. Hari itu nenek meminta Sulung menanak nasi. Nenek suruh Sulung menanak beras.

Setelah nenek ke sungai, Sulung bermain.Dia bermain di sekeliling pondok. Setelah puas bermain, Sulung teringat akan pesan nenek.

"Macam mana hendak kenyang dengan sebutir beras?" tanya hati Sulung. Akhirnya Sulung mengambil keputusan sendiri. Dia mesti memasak semua beras yang ada.




Sulung membubuh beras ke dalam periuk. Kemudian beras itu dicucinya. Setelah itu dia menghidupkan api. Periuk pun ditenggekkan di atas tungku.

Sulung menunggu di dapur. Puas menunggu, Sulung keluar bermain. Apabila teringatkan nasinya, Sulung segera masuk ke pondok. Tudung periuk dibukanya.

"Mengapa airnya tidak mahu kering?" fikir Sulung. Tiba-tiba melimpah bubur dari dalam periuk. Dapur itu dipenuhi bubur.

Sulung berasa takut. Dia berlari keluar mencari nenek. Bubur di dapur melimpah ke halaman. Bubur itu seolah-olah mengejar Sulung. Sulung berlari ke sungai. Nenek tidak ada di sana.

Sejak itu Sulung hidup seorang diri. Orang kampung tidak mahu menjadikan Sulung anak angkat. Dia tidak pernah dapat makan nasi lagi.

Isnin, 5 Disember 2011

Tujuh Saudara Selamatkan Kampung



Pada zaman dahulu, ada seekor yang sangat besar di sebatang alur. Ular itu sentiasa menyusur dari hulu ke kuala. Hampir setiap purnama, seorang penduduk yang tinggal di tepi sungai mati dibelit oleh ular itu.

Penduduk  kampung memanggil ular itu 'ular bidur'. Apabila hujan panas, ular itu akan berbunyi macam geruh lembu. Lalu penduduk menamakannya 'ular lembu'.

Dengan takdir Allah,datanglah tujuh orang lelaki berbangsa Siam ke kampung itu.

''Kami bertujuh datang hendak menolong tuan-tuan. Kami sudah mendengar khabar bencana yang menimpa kampung tuan-tuan," kata abang yang tua.

Tujuan mereka itu disambut dengan baik oleh sekalian penduduk.





Esoknya, mereka mencari ular ganas itu. Apabila terlihat sahaja di permukaan air, mereka terus terjun hendak menangkapnya. Malangnya, ular itu sangat bisa. Enam daripada mereka jatuh pengsan.

"Pada hambalah sekarang," kata adik yang bongsu. Mukanya merah padam kerana marah kepada ular itu. Dia menyusur perjalanan ular itu hingga masuk ke dalam baruh padi. Dia memasang jerat pada muka batas sawah itu.

Dengan bantuan orang kampung, ular ganas itu masuk perangkap yang dibuat oleh adik bongsu. Ular itu dipukul oleh sekalian penduduk. Akhirnya, ular itu mati. Beberapa hari kemudian, enam saudara yang pengsan itu pulih. Mereka mengambil keputusan untuk menetap di kampung itu.

Khamis, 10 November 2011

Manusia Menjadi Labi-labi

Labu baru berkahwin. Dia dan isterinya masih remaja. Labu dan isterinya mendirikan rumah di kaki bukit. Di situ ada banyak tasik kecil.

"Mek, hari ini abang nak mengail. Mana tahu, dapat ikan besar," kata Labu kepada isterinya pada suatu hari.

Labu memilih tasik di kaki bukit. Sampai di pinggir tasik,dia duduk. Labu mencampakkan mata kail dan terus berangan-angan. Dia membayangkan ikan besar menelan umpan kailnya.

Waktu berlalu dan umpannya sentiasa habis dan asyik berganti. Apabila senja, Labu pun pulang ke rumah. Esoknya Labu pergi mengail lagi.

Sudah masuk hari ketiga Labu mengail. Tidak semena-mena mata kailnya diragut. Labu terus menariknya. Muncullah seekor labi-labi.Labu menariknya  ke darat. Terkelip-kelip mata labi-labi itu.





"Wahai Labu, lepaskanlah aku. Aku akan tolong engkau," kata labi-labi itu.

"Bohong! Sudah tiga hari aku kecewa," kata Labu.

Labu marah dan dia mencencang labi-labi itu dengan parang. Matilah labi-labi itu.

Tidak lama kemudian Labu terasa tubuhnya panas. Dia turun berendam di dalam air tasik. Tiba-tiba, Labu terasa tubuhnya berubah. Tangan, badan dan kakinya bertukar menjadi labi-labi. Namun kepalanya tidak berubah.

Dia melaung memanggil isterinya. Alangkah terkejutnya si isteri kerana si suami telah menjadi labi-labi berkepala manusia. Dia jijik melihat suaminya begitu. Dia terus lari ke dalam hutan. Tinggallah Labu di situ bersendirian.

Dia insaf akan perbuatan khianatnya.Sepatutnya dia tidak menganiyai labi-labi itu.

Ahad, 28 Ogos 2011

Peristiwa Lubuk Jong

Di sebuah kampung kecil tinggallah keluarga Pak Buntal yang miskin. Pak Buntal hidup bersama isterinya, Mak Buntal. Mereka mepunyai seorang anak lelaki. Namanya Awang Buntal. Ada juga orang kampung yang memanggil Awang Buntal sebagai Awang Butar.

Setelah dewasa, Awang Buntal pergi mengembara ke luar kampung.Awang Buntal sangat berhajat untuk menjadi orang kaya.

Dengan perahu kecil, Awang Buntal menghiliir menuju ke arah Sungai Kelantan. Awang Buntal ingin berniaga. Daripada berniaga secara kecil-kecilan, akhirnya Awang Buntal menjadi saudagar yang terkenal.





Pada suatu hari, Awang Buntal pulang ke kampungnya.

Mendengar Awang Buntal pulang dan berlabuh ke kampungnya, Pak Buntal dan Mak Buntal berasa amat gembira. Mereka membawa segenggam nasi semangat, apam dan semangkuk bertih beras untuk Awang Buntal.

Alangkah kecewanya mereka apabila kedatangan mereka tidak diterima Awang  Buntal. Awang Buntal berasa malu kepada tiga orang isterinya kerana keadaan ibu bapanya yang hodoh. Dia terus menghalau Pak Buntal dan Mak Buntal.

Oleh kerana terlalu marah, Awang Buntal menolak Pak Buntal dan Mak Buntal ke tebing sungai. Nasi semangat dan bertih goreng bertaburan ke dalam sungai. Awang Buntal pun memerintahkan awak-awaknya melayarkan jongnya ke tempat lain.

Pada saat itu juga, angin ribut datang menerpa. Kilat sabung menyabung, sekelip mata, jong Awang Buntal terbakar lalu tenggelam. Maka tenggelam jugalah Awang Buntal berserta isteri-isteri dan awak-awaknya sekali. Sejak itulah lubuk itu dinamakan Lubuk Jong.

Ahad, 7 Ogos 2011

Ular Air dan Ular Tanah

Dalam sebuah belukar tinggalah tiga ekor ular yang paling berbisa. Ular itu ialah ular senduk, ular air dan ular tanah.

Ular air dan ular tanah cukup bengis dan kejam. Pantang berjumpa makhluk yang hidup, habis dipatuknya. Oleh kerana taringnya begitu berbisa, semua ikan dan binatang yang kena patuk, mati dalam sekelip mata.

Kekejaman ular air dan ular tanah makin menjadi-jadi. Ramai orang kampung yang pergi ke paya untuk menangkap ikan menjadi mangsanya.

Ular air dan ular tanah semakin melampau. Mereka menyerang kanak-kanak yang bermain di halaman pula. Maka ramailah kanak-kanak yang mati.

Kisah kejahatan ular air dan ular tanah tidak disenangi oleh ular senduk.

"Kau akan terima padahnya nanti," kata ular senduk.

"Jika kau tak hargai bisa kau lagi,aku cabar kau luahkan bisa kau itu sekarang juga," kata ular air kepada ular senduk.

"Aku sahut cabaran kau tu.Mari luahkan bisa kita di atas daun keladi ni," kata ular senduk. Ia pun menjalar ke sehelai daun keladi yang lebar. Ular air dan ular tanah juga meluahkan bisanya.

Sebaik sahaja kedua-duanya selesai meluahkan bisa, tiba-tiba muncul dua orang lelaki tidak jauh dari situ.

Oleh kerana terlalu geram dan marah kepada manusia yang berjalan kaki ayam,ular air dan ular tanah  menjalar pantas. Ia lalu mematuk kedua-dua belah kaki lelaki itu.

Melihat itu, ular senduk segera menyedut bisanya kembali dan pergi ke dalam semak berhampiran.

Melihat patukan mereka tidak berkesan, barulah ular air dan ular tanah sedar, taringnya tidak berbisa lagi. Lalu dengan pantas mereka menjalar ke tempat mereka menjalar ke tempat mereka meluahkan bisa tadi.

Alangkah hampanya mereka apabila melihat bisa di atas daun itu sudah habis tumpah ke tanah. Ular air berasa amat kecewa. Tanpa bisa, kesombonggannya tidak bermakna lagi. Merayaulah dia ke hulu ke hilir tanpa arah tujuan.

Lain pula dengan ular tanah. Oleh kerana terlalu malu dan kecewa, dia selalu bersembunyi di bawah tanah. Hanya sesekali ia muncul.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...